Tujuan mempelajari sejarah adalah untuk mewujudkan jati diri dan melahirkan semangat patriotisme dalam kalangan pelajar-pelajar. Selain itu sejarah dapat dijadikan ikhtibar dan panduan dalam merangka wawasan masa depan sesebuah negara
HARI INI DALAM SEJARAH: SATU IMBASAN SEJARAH
Program Hari Ini dalam Sejarah lahir daripada pandangan dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Kerja Persatuan Sejarah Malaysia pada 23hb Julai, 1979. Radio Televisyen Malaysia telah mengemukakan permintaan Y.B Menteri Penerangan Dato’ Mohamad Rahmat supaya Persatuan Sejarah Malaysia bersama Radio Televisyen Malaysia menerbitkan satu rancangan yang mengandungi keratan-keratan peristiwa sejarah tanahair untuk disiarkan melalui TV Malaysia. Tujuan diadakan rancangan ini ialah untuk memberi maklumat kepada orang ramai tentang sejarah tanahair di samping membawa kesedaran terhadap kepentingan sejarah dalam kehidupan mereka. Jawatankuasa Kerja ini telah bersetuju untuk menyerahkan perkara ini kepada kajian Arkib Negara supaya dapat disediakan satu projek perintis mengenai program ini.